Rabu, Disember 16, 2009

Hijrah : Memantap Ukhuwwah Memperkasa Ummah

MEMANTAPKAN UKHUWWAH MEMPERKASA UMMAH

Muqaddimah

Maksudnya :
“Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman).[1] walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah Telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya dia Maha gagah lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Anfal 8 : 63)

Hijrah adalah gerakan perubahan terhadap kekecundangan akidah, akhlak, tasawwur, prinsip dan falsafah yang menyelubungi dunia pada ketika itu. Mengikut sejarah, masyarakat arab ketika itu berada dalam kekufuran dari segi akidah dan keruntuhan akhlak yang meruncing. Apabila datangnya Nabi Muhammad S.A.W, kegelapan ini dipadamkan oleh cahaya Islam yang dibawa Baginda. Orang yang terlibat dengan peristiwa hijrah mesti dijadikan contoh teladan yang baik.Hijrah berlaku apabila Islam tidak diberi ruang untuk diamalkan di Makkah dan tidak dibenarkan untuk dilaksanakan secara menyeluruh.Selama 13 tahun umat Islam diuji keimanan mereka dengan berbagai kezaliman dan penyeksaan.

Intipati asal Hijrah

Intipati asal hijrah adalah Nabi S.A.W melakukan hijrah bagi menegakkan sebuah Negara yang berasaskan kepada ubudiyyah yang mutlak kepada Allah S.W.T. Peristiwa ini meletakkan agama Islam sebagai agama yang tidak terasing dengan sistem kehidupan manusia termasuk sistem politik, pentadbiran, ekonomi, kemasyarakatan, perundangan Negara dan seumpamanya. Dengan itu, baginda dapat merancang untuk menegakkan sebuah pentadbiran, pengurusan, sistem ekonomi, pendidikan, diplomasi dan lain-lain dengan berteraskan ‘sighatullah’ (celupan Allah).


Konsep hijrah yang dibawa oleh Nabi S.A.W

Hijrah yang berlaku 1400 tahun dahulu yang diasaskan oleh baginda mempunyai dua konsep yang utama, iaitu :

Pertama : Menegakkan Agama (اقامة الدين )
Kedua : Mentadbir Manusia ( تعبير الناس )

Imam al-Ghazali r.hm menyatakan tentang kepentingan mewujudkan sistem politik dan pentadbiran Islam seperti yang dilakukan Rasulullah S.A.W. katanya :
الدِّينُ أُسٌّ وَالإِمَامُ حَارِسَهُ وَمَا لاَ أُسٌّ لَهُ فَمَهْدُوْمٌ وَمَا لاَ حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ
Maksudnya :
“Agama itu adalah asas, sedangkan Imam (pemimpin) itu adalah penjaganya (agama). Sesuatu yang tidak ada asasnya, maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tidak ada penjaga, maka ia akan hilang”.[2]


Seorang tokoh ulama Islam Syeikh Arif Abu ‘Aid di dalam kitabnya Wazifah al-Hakim Fi al-Daulah ada mengulas mengenai tugasan sebuah Negara Islam, iaitu :

1. Menegakkan agama Allah di atas muka bumi.
2. Membina kekuatan dalaman ummah.
3. Membina kekuatan luaran Negara.


Menghayati makna hijrah

Pengertian hijrah dari segi bahasa bermaksud, berpindah. Dari segi istilah bermaksud, Perpindahan Rasulullah S.A.W bersama-sama sahabatnya dengan meninggalkan Mekah ke Madinah kerana semata-mata mengikut perintah Allah dan mempertahankan kesucian Islam.
Walaupun zaman sekarang hijrah tersebut sudah tidak berlaku lagi, umat Islam perlu memahami makna hijrah dari pelbagai sudut. Di antara sudut yang boleh difahami ialah :
i. Hijrah I’tiqadiyyah

Ia bermaksud meninggalkan segala bentuk keyakinan, kepercayaan dan ikatan-ikatan yang tidak selari dengan konsep pengabdian kepada Allah S.W.T. umat Islam dilarang mempunyai keyakinan atau kepercayaan yang bercampur dengan kepercayaan yang tidak bercorak Islam. Zaman dahulu terdapat serangan pemikiran digunakan oleh musuh Islam untuk memesongkan akidah umat Islam seperti fahaman Mu’tazilah, Jabariyah, Syiah, Murji’ah dan lain-lain fahaman lagi. Di zaman moden ini timbul pula ideologi-ideologi baru seperti Sosialis, Komunis, Kapitalis dan sebagainya. Terakhir terdapat pula ideology baru yang timbul iaitu fahaman Liberalisme, Pluralisme, kesatuan agama, hak asasi, sekularisme, Islam Liberal dan sebagainya lagi.


ii. Hijrah Fikriyyah

Ia bermaksud meninggalkan segala bentuk pola pemikiran yang tidak sesuai dengan cara berfikir yang berbentuk Islamik. Umat Islam hendaklah memikirkan segala perbuatan yang dilakukan di dalam kehidupan mereka hendaklah berpandukan kepada kerangka kebenaran Islam yang sebenar tanpa ada sebarang keraguan. Dalam al-Quran Allah S.W.T sendiri menyarankan hambanya supaya berfikir dalam rangka taat kepadanya tanpa ada sebarang penyelewengan. Firman Allah S.W.T :
“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berfikir?” (Surah al-Baqarah 2 : 44)

Termasuk juga dalam erti kata hijrah ini pemikiran yang salah dan jumud terhadap sifat Islam seperti bertawakkal tanpa usaha, berpegang teguh dengan keramat-keramat, kepercayaan terhadap bomoh-bomoh, tangkal-tangkal, ajaran-ajaran sesat seperti Ayah Pin, Kahar Rasul Melayu dan pelbagai kepercayaan lagi.


iii. Hijrah Syu’uriyyah

Ia bermaksud tidak membiarkan apa bentuk perasaan dan kecenderungan hati kepada perkara-perkara yang tidak benar. Menurut Sayyid Qutub dalam kitabnya Ma’alim Fi Tariq, ia dikenali sebagai Uzlah Syu’uriyyah. Sepatutnya jiwa setiap muslim menjadi sensitive dan peka terhadap segala bentuk penyelewengan dan kemaksiatan. Ia membenci kerana berlawanan dengan agama bahkan tidak membenarkan perkara tersebut terus berlaku. Ini berdasar hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudriy R.A, Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya :
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah mencegahnya dengan tangan (kekuasaannya), sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya, sekiranya tidak mampu juga hendaklah membencinya dengan hati, itulah selemah0lemah iman”.[3]


iv. Hijrah Sulukiyyah

Ia bermaksud meninggalkan segala bentuk tindakan atau tingkah laku yang bertentangan dengan kehendak agama. Contohnya, berhijrah dari perangai jahat kepada perangai baik, hijrah dari sifat mazmumah seperti hasad dengki, sombong diri, ujub, riak, takabbur dan lain-lain kepada sifat mahmudah seperti baik hati, amanah, jujur, rendah diri, tawadduk dan sebagainya.


v. Hijrah Badaniyyah

Ia bermaksud hijrah berbentuk fizikal iaitu berpindah dari suatu tempat ke satu tempat yang lain, daerah ke daerah yang lain dan negeri ke negeri yang lain. Ia terbahagi kepada tiga keadaan iaitu :

Pertama : Hijrah dari negeri Kafir ke negeri Islam.

Hijrah ini pada asalnya adalah wajib, kecuali di dalam keadaan situasi tertentu yang memudaratkan. Hukum hijrah ini masih digunapakai berdasarkan dalil-dalil syarak. Ini telah dibincangkan oleh Syeikh Nazih Hammad dalam kitabnya Dirasat Fiqhiyyah. Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri,[4] (kepada mereka) malaikat bertanya : "Dalam keadaan bagaimana kamu ini?". mereka menjawab: "Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah)". para malaikat berkata: "Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?". orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali”. (Surah an-Nisa’ 4 : 97)


Kedua : Hijrah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain untuk mendalami ilmu.

Hjrah yang dilakukan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain untuk mendalami ilmu-ilmu syarak, ilmu keduniaan seperti sains, geografi, matematik, engineering dan sebagainya, melihat sunnah alam seperti kesan-kesan peninggalan sejarah umat terdahulu sebagai pengajaran kepada umat Islam bagu menambahkan pengabdian dan ketakwaan kepada Allah S.W.T adalah fardu kifayah hukumnya. Contohnya Imam asy-Syaf’iy dan Imam Malik berhijrah dari negerinya ke negeri yang lain untuk menimba ilmu.



Ketiga : Hijrah untuk mencari nafkah atau pekerjaan.

Hijrah seperti ini adalah harus di sisi syarak, kerana sekira tiada tempat di dalam negerinya pekerjaan atau sumber rezeki, ia boleh berhijrah ke negeri yang lain.





-------------------------------------------
[1] Penduduk Madinah yang terdiri dari suku Aus dan Khazraj selalu bermusuhan sebelum nabi Muhammad s.a.w hijrah ke Medinah dan mereka masuk Islam, permusuhan itu hilang.
[2] Al-Ghazali, al-Iqtisad Fi al-I’tiqad.
[3] Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, Bab Bayan Kaun al-Nahyi ‘An al-Mungkar, hadis no. 70. Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Iman, Bab al-Amru Bi al-Ma’ruf Wa an-Nahyu An al-Mungkar, hadis no. 4003.
[4] Yang dimaksud dengan orang yang menganiaya diri sendiri di sini, ialah orang-orang muslimin Mekah yang tidak mau hijrah bersama nabi sedangkan mereka sanggup. mereka ditindas dan dipaksa oleh orang-orang kafir ikut bersama mereka pergi ke perang Badar; akhirnya di antara mereka ada yang terbunuh dalam peperangan itu.
[5] Muslim, Sahih Muslim, hadis no. 5262.


Sumber :
1. Dr. Zulkifli Muda, (2008), Menjana Ummah Gemilang, Kertas Kerja Ilmiah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu.

Tiada ulasan: