Ahad, Februari 07, 2010

Ibadat Yang Di Terima Allah S.W.T

Muqaddimah

• Muhasabah dengan ibadah yang lampau adakah ibadah tersebut diterima oleh Allah S.W.T…?
• Adakah sempurna ibadah yang kita lakukan?
• Adakah ibadah yang dilakukan mematuhi kehendak syarak?

Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :
“ Dialah yang telah mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya. Dia Maha Kuasa (membalas amalan-amalan kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)”.

Ayat di atas menjelaskan, maksud ‘amalan yang paling baik’ yang diterima oleh Allah S.W.T. menurut Fudhail bin ‘Iyadh R.A :

“Paling ikhlas dan paling tepat. Orang ramai bertanya : “wahai Abu Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyadh), apakah yang dimaksudkan dengan yang paling Ikhlas dan paling tepat?” Jawab Beliau : “Sesungguhnya sesuatu amalan apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak tepat tidak akan diterima dan apabila amalan itu dikerjakan dengan tepat tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima hinggalah amalan itu dikerjakan dengan ikhlas den tepat. Apa yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amalan itu dilakukan kerana Allah S.W.T dan yang dimaksudkan dengan tepat ialah berpandukan sunnah.”

Berdasarkan tafsiran yang dinyatakan ole Fudhail bin ‘Iyadh R.A di atas, dapat disimpulkan bahawa ibadah yang diterima oleh Allah S.W.T harus memenuhi dua syarat berikut :

1. Berniat melakukan amal ibadah semata-mata kerana Allah S.W.T.
2. Amal ibadah itu hendaklah dilakukan bertepatan dengan tuntutan syariat atau menurut sunnah Nabi S.A.W. (اتباع السنة).




Pertama : Berniat Ikhlas dalam melakukan ibadah semata-mata kerana Allah S.W.T
Ikhlas merupakan syarat yang pertama bagi ibadah seseorang itu diterima oleh Allah S.W.T sebagaimana firmanNya :
Maksudnya :
“ Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh di atas Tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi Zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.”

Ayat di atas menjelaskan, setiap muslim diperintahkan untuk menyembah Allah dengan mengikhlaskan diri dalam setiap ibadah yang dilakukan seperti Solat dan Zakat.


Kedua : Menurut Sunnah Nabi S.A.W (اتباع السنة)


Syarat yang kedua bagi ibadah seseorang itu diterima Allah S.W.T adalah menurut sunnah Nabi S.A.W. Setiap amalan yang dilakukan bukan bersumberkan kepada sunnah tidak diterima oleh Allah S.W.T malah ditolak oleh Nabi S.A.W sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.H, Nabi S.A.W pernah bersabda :
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ....
Maksudnya :
“Barangsiapa yang beramal dengan satu amalan yang bukan dari petunjuk kami, maka ia tertolak.”

Hadis di atas menjelaskan, setiap amalan yang dilakukan bukan datangnya daripada Nabi S.A.W adalah ditolak dan tidak diterima oleh Allah S.W.T.

Ini menjelaskan kepada kita, amal ibadah yang dilakukan tanpa berpandukan kepada sunnah Nabi S.A.W adalah merupakan bid‘ah yang nyata.





APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN BID‘AH ?

Maksud bid‘ah dari segi bahasa ialah diambil dari kata بَدَعَ . berkata Ibn Manzur rahimahullah :
بَدَعَ الشَّيْءَ يَبْدَعُهُ بَدْعًا، وَاِبْتَدَعُهُ : أَنْشَأَهُ وَبَدَأَهُ.
Maksudnya :
“Telah membuat sesuatu bid‘ah (past tense). Sedang membuatnya (present tense) dan bad‘an (masdar/kata terbitan) bererti mengadakan dan memulakan”.

Menurut Muhammad bin Bakr al-Razi rahimahullah :
بَدَعَ الشَّيْءَ : اِخْتِرَعَهُ لاَ عَلَىْ مِثَالٍ.
Maksudnya :
“Membuat bid‘ah seseuatu bermaksud, mengadakannya tanpa ada suatu contoh.”

Maksud bid‘ah dari segi istilah syarak ialah takrif yang dikemukakan oleh al-Imam Abu Ishaq al-Shatibiy :
طَرِيْقَةٌ فِيْ الدِّيْنِ مُخْتَرَعَةٌ تُضَاهِيْ الشَّرْعِيَّةُ يُقْصَدُ بِالسُّلُوْكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةُ فِيْ التَّعَبُّدِ لِلَّهِ سُبْحَانَهُ.
Maksudnya :
“Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.”

Huraian al-Imam al-Shatibiy terhadap takrif bid‘ah :

• Dikaitkan jalan (طريقة) dengan agama kerana rekaan itu dilakukan dalam agama dan perekanya menyandarkan kepada agama.
• Maksud (تضاهي الشريعة) ialah menyerupai jalan syarak sedangkan ia bukanlah syarak pada hakikatnya. Bahkan ia menyalahi syarak dari beberapa sudut :
a. Meletakkan batasan-batasan seperti seseorang bernazaruntuk berpuasa berdiri tanpa duduk, berpanas tanpa berteduh, membuat keputusan mengasingkan diri untuk beribadah, menghadkan makanan dan pakaian dari jenis tertentu tanpa sebab.
b. Beriltizam dengan cara (كيفية) dan bentuk (هيئات) tertentu. Ini seperti zikir dalam bentuk perhimpunan dengan satu suara, menjadikan perayaan hari lahir Nabi S.A.W dan seumpamanya.
c. Beriltizam dengan ibadah tertentu dalam waktu tertentu sedangkan tidak ada penentuan tersebut dalam syarak. Ini seperti beriltizam puasa pada hari nisfu sya’ban dan bersolat pada malamnya.
• Maksud (يُقْصَدُ بِالسُّلُوْكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةُ فِيْ التَّعَبُّدِ لِلَّهِ سُبْحَانَهُ) : tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. ialah menggalakkan ibadah.





Seterusnya al-Imam ash-Shatibiy menjelaskan :

“Telah jelas dengan ikatan ini (yang dijelaskan) bahawa bid‘ah tidak termasuk adat. Apa sahaja jalan yang direka di dalam agama yang menyerupai perkara yang disyariatkan tetapi tidak bertujuan beribadah dengannya, maka ia terkeluar dari nama ini (bid‘ah).”

Kesimpulan daripada takrif ash-Shatibiy di atas :
i. Bid‘ah ialah jalan syarak yang baru di reka dan dianggap ibadah dengannya. Adapun membuat perkara baru dalam urusan dunia tidak boleh dinamakan bid‘ah.
ii. Bid‘ah ialah sesuatu yang tidak ada asal dalam syariat. Adapun apa yang ada asalnya dalam syariat tidak dinamakan bid‘ah.
iii. Ahli bid‘ah menganggap jalan, bentuk, cara bid‘ah mereka adalah satu cara ibadah yang dengannya mereka mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
iv. Bid‘ah kesemuanya buruk. Apa yang dinamakan Bid‘ah Hasanah yang membabitkan perkara-perkara duniawi bukanlah bid‘ah pada istilahnya.

Daripada definisi ini dapat kita fahami bahawa skop bid‘ah adalah dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama sahaja. Oleh itu, apa jua bentuk rekaan terkini dalam hal kehidupan duniawi tidak termasuk dalam ruang lingkup perbahasan bid‘ah secara syar‘ie.

Ini adalah kerana terdapat dalil-dalil yang menggalakkan umat Islam untuk terlibat dalam usaha mencipta rekaan-rekaan yang terkini demi kemajuan mereka. Dalam hal ehwal dunia, manusia mempunyai kebebasan untuk melakukan inovasi yang termoden asalkan ia tidak mendatangkan keburukan kepada orang ramai serta tidak bertentangan dengan syarak.

Menurut Anas bin Malik R.A, Nabi S.A.W pernah bersabda :
...أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ....
Maksudnya :
“…kamu lebih tahu hal ehwal duniawi kamu…”

Menurut ‘Aishah R.H, Nabi S.A.W pernah bersabda :
...إِنْ كَانَ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ دُنْيَاكُمْ فَشَأْنُكُمْ بِهِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أُمُورِ دِينِكُمْ فَإِلَيَّ....
Maksudnya :
“…jika sesuatu itu termasuk urusan dunia kamu, maka uruslah ia. Jika ia merupakan urusan agama kamu, maka rujuklah kepadaku….”

Bid‘ah yang dimaksudkan di sini adalah mengadakan-adakan ritual-ritual agama atau ibadah baru yang tidak pernah diajar atau diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Semua bid‘ah yang bersangkutan dengan agama ini adalah sesat dan perbuatan mengamalkannya adalah sia-sia kerana ianya tidak diterima oleh Allah S.W.T.

Menurut Jabir bin ‘Abdullah R.A, Nabi S.A.W. pernah bersabda :
...فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ...
Maksudnya :
“…sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah kitab Allah (al-Quran), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (as-Sunnah), seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bid‘ah) dan setiap yang diada-adakan (bid‘ah) adalah sesat…”

Menurut ‘Irbadh bin Sariyyah R.A :

“Rasulullah mengimami kami solat subuh, kemudian baginda berpaling ke belakang menghadap kami, lalu baginda menasihati kami dengan nasihat yang sangat mendalam sehingga menitiskan air mata dan menusuk hati. Kami berkata : Wahai Rasulullah, nampaknya ini seperti nasihat perpisahan, berwasiatlah kepada kami. Baginda pun bersabda :
أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ....
Maksudnya :
“Aku berwasiat kepada kamu agar bertakwa kepada Allah S.W.T, taat dan patuh (kepada pemimpin), walaupun pemimpin kamu seorang hamba abdi berkulit hitam. Sesiapa di antara kamu yang masih hidup setelah ketiadaanku, dia akan melihat banyak perselisihan. Oleh itu, kamu hendaklah berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah Khulafa’ ar-Rashidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan geraham (iaitu berpeganglah dengan kuat). Kamu hendaklah menjauhi perkara-perkara yang baru, kerana setiap perkara baru itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah itu sesat.”

Menurut ‘Aishah R.H, Nabi S.A.W pernah bersabda :
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya :
“Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami (urusan agama) perkara yang tidak terdapat padanya, maka ianya tertolak.”


CONTOH-CONTOH AMALAN YANG DIKATEGORIKAN SEBAGAI BID‘AH :

1. Sambutan perayaan sempena Isra' dan Mi'raj pada 27 rejab dengan amalan-amalan tertentu.

Kata Imam Bin Baaz rahimahullah : "Pada malam 27 rejab yang dikatakan berlaku peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi S.A.W. tidak ada satu pun hadith sahih yang menentukan bila berlakunya Isra' dan Mi'raj Nabi. Hadis-hadis yang meriwayatkan tentang malam belakunya Isra' dan Mi'raj kesemuanya tidak sahih dari Nabi di sisi ahli hadis. Ada hikmah Allah swt yang tertentu disebalik tidak menyatakan kepada manusia bila hari belaku peristiwa itu. Jika sekalipun peristiwa Isra' dan Mi'raj berlaku pada tarikh yang dikatakan itu, tidak boleh bagi umat Islam menentukan dan melakukan sesuatu amal ibadat pada 27 rejab dan tidak harus melakukan sambutan perayaan pada hari itu kerana Nabi S.A.W dan para sahabatnya tidak pernah melakukannya dan juga mereka tidak pernah menentukan sesuatu amal ibadat pun pada hari itu. Kalaulah ia satu perkara yang disyariatkan oleh agama sudah tentu Nabi S.A.W telah menerangkannya kepada sahabatnya dengan perkataan atau perbuatan .Kalau benar-benar ada sambutan perayaan dan amal ibadat tertentu dibuat oleh Nabi sudah tentu telah tersebar dengan meluas dan para sahabat telah menyatakannya kepada kita.”


2. Puasa Khas pada 27 Rejab Sempena Isra' dan Mi'raj.

Kata Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi : "Antara puasa bulan haram ialah puasa pada 27 rejab yang direka-reka oleh setengah orang mengikut hawa nafsu mereka semata-mata , yang tidak disyariatkannya oleh Allah dan tidak dilakukan oleh Nabi kita saw serta para Khulafa Rasyidin dan juga tidak ada para ulama yang menyuruh melakukannya . Dikalangan kita beranggapan bahawa pada 27 rejab itu berlaku satu peristiwa besar terhadap Nabi kita saw iaitu Isra' dan Mi'raj, oleh itu kita harus bersyukur atas nikmat besar ini yang dikurnia oleh Allah kepada Nabi kita dengan cara kita berpuasa pada hari itu. Tidak ada dalil yang mensyariatkan berpuasa pada hari itu. Kata Ibnu Qaiyim dalam kitabnya Zaadil Mi'aad didalam menerangkan tentang malam Isra' dan Mi'raj yang diambil dari kata Syeikh Islam Ibnu Tiamiyah : tidak diketahui seorang pun dari kalangan muslimin yang menentukan kelebihan malam Isra' dan Mi'raj daripada malam yang lain. Jika ada kelebihan malam itu sudah tentu para sahabat telah menerangkannya oleh kerana tidak diketahui bilakah malam belaku Isra' Mi'raj dan tidak ada dalil yang jelas menerangkan Isra' Mi'raj belaku pada bulan Rejab terutama malam 27 . Oleh itu tidak harus kaum muslim menentukan apa pun jenis ibadat pada malam 27 rejab atau malam selainnya.”


3. Solat Raghaaib ( solat-solat sunat) .

a) Sifat solat raghaaib : Hadis yang meceritakan sifat solat sunat dalam bulan Rejab adalah hadis dusta terhadap Nabi S.A.W. Antara hadisnya yang dikatakan dari Anas bin Malik ra berkata , bersabda Nabi S.A.W: " Bulan Rejab bulan Allah , bulan Sya'ban bulanku , bulan Ramadhan bulan umatku" ..sehingga sabdanya "tidak sesorang pun yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam bulan Rejab , kemudian ia bersolat pada malam jumaat antara waktu isyak 12 rakaat .. kecuali Allah akan mengamponi kesemua dosanya sekalipun dosanya seperti buih dilaut dan sebanyak daun-daun pohon kayu serta diberi syafa'at pada hari kiamat sebanyak 700 dari ahli bait….”sehingga akhir hadith . Kata Ibnu Al-Jauzi rahimahullah : "hadis-hadis ini adalah hadis maudhu' ( palsu) terhadap Nabi S.A.W. Kerana dalam riwayat hadis ini terdapat orang yang bernama Ibnu Juhaim dimana para ahli hadis menyifatkannya sebagai pendusta. Aku telah mendengar dari Syeikhku Abdul Wahab Hafiz menyatakan : "Perawi-perawi hadis itu tidak diketahui siapa mereka dan aku telah berusaha mencari dalam semua kitab perawi hadith tidak seorang pun nama-nama mereka yang aku temui."

Begitu juga kata Imam As-Syaukani rahimahullah : "hadis-hadis itu adalah hadis maudhu (palsu) dan para perawinya majhul ( tidak dikenali), inilah solat-solat sunat yang menjadi mahsyur dikalangan umat Islam , kesemua ahli para hafiz hadis bersepakat mengatakan bahawa hadis itu palsu.”

Hukumnya, kata Iman An-Nawawi : "Sesungguhnya solat-solat raghaib itu adalah bid'ah munkarah daripada bid'ah yang sesat"

Kata Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah : "Solat raghaib dalam bulan Rejab tidak ada asalnya dari agama malah ia dari perkara bid'ah yang direka-reka dengan sepakat para ulama, tidak disunahkan oleh Nabi S.A.W dan tidak ada seorang pun dari kalangan Khulafa Rasyidin yang melakukannya dan tidak juga para ulama seperti Imam Malik, Syafei, Ahmad, Abu Hanifah, Thauri, Auza'ei, Laith dan selain dari mereka . Hadis-hadis yang diriwayat tentangnya kesemuanya palsu lagi dusta.”

Begitu juga kata Hafiz Ibnu Rejab :"Solat raghaib ini adalah bid'ah di sisi jumhur ulama. Solat ini tidak disebut oleh para ulama dahulu kerana ia direka dan awal timbulnya selepas zaman mereka sesudah 400 tahun".

b) Puasa Bulan Rejab keseluruhannya atau sebahagiannya dengan berkeyakinan ada ganjaran-ganjaran pahala tertentu (fadhilatnya). Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani : "Tidak ada hadis sahih yang menceritakan tentang kelebihan bulan Rejab dan tidak juga tentang puasa Rejab atau pun puasa yang tertentu dan juga tentang solat qiamulail yang khas dalamnya".

Kata Ibnu Qaiyim :"Hadis-hadis yang menceritakan tentang puasa rejab dan solat sebahagian malam pada bulan rejab adalah kesemuanya hadis palsu yang diada-adakan".
Diceritakan bahawa Saidina Umar Ibnu Khatab R.A telah memukul tangan-tangan orang yang berpuasa rejab sehingga mereka meninggalkannya serta berkata : Bahawasanya bulan rejab ini adalah bulan yang dihormati dan dimuliakan oleh orang-orang jahiliyah.”

Kata Imam At-Taratusyei : "Jika sesorang itu ingin berpuasa dalam bulan Rejab dibolehkan asalkan bukan puasanya itu kerana bulan Rejab serta jangan berangapan ia adalah wajib atau sunat".

4. Umrah Dalam Bulan Rejab Dengan Berkeyakinan Menuniakan Umrah Dalamnya Ada Fadhilat Tertentu.

Tidak ada hadis yang menceritakan bahawa Nabi S.A.W melakukan umrah dalam bulan Rejab atau mengkhususkan umrah dalam rejab sahaja tanpa bulan yang lain. Tidak ada beza pahala umrah pada bulan rejab dari bulan yang lain sebagaimana yang disangka oleh setengah orang. Nabi S.A.W melakukan umrah sepanjang hayat sebanyak 4 kali sahaja iaitu :

a. Umrah Hudaibiyah pada tahun ke 6 hijrah.
b. Umrah Qadha pada tahun selepasnya ( tahun ke7 hijrah).
c. Umrah dari Ja'ranah ketika keluar dalam peperangan Hunain.
d. Umrah bersama dengan haji ketika Nabi menunaikan haji.

Syeikh Muhammad bin Ibrahim Ali Syeikh rahimahullah menyatakan bahawa para ulama melarang daripada menentukan hanya pada bulan Rejab sahaja banyak melakukan umrah.
Berkata Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz At-Tuwajiri : "Pendapat yang kuat disisiku wallahu alam- ialah mengkhususkan umrah hanya pada bulan Rejab tidak ada asal usulnya dari agama kerana tidak ada dalil syara' ( Al-Quran dan Sunnah) yang mengkhususkan umrah dalam bulan Rejab, disamping itu terbukti dari sirah Nabawi bahawa beliau tidak pernah melakukan umrah pada bulan Rejab sama sekali.”

Kalau benar ada fadhilat yang tertentu bagi umrah dalam bulan Rejab sudah tentu para ulama telah menyebutnya kerana mereka lebih mengambil berat terutama dalam hal-hal ibadat sebagaimana fadhilat umrah dalam bulan Ramadhan dan seumpamanya .

Sebagaimana yang diceritakan dari Ibnu Umar R.A ketika mana dia ditanya orang : "Wahai ayah Abdul Rahman, adakah pernah Nabi S.A.W berumrah pada bulan Rejab", jawabnya : ya , bila Aisyah R.H mendengar jawab Ibnu Umar itu, ia menafikan yang Nabi pernah berumrah dalam bulan Rejab. Ibnu Umar bila mendengar penafian Aisyah itu , ia terdiam tidak berkata apa-apa samada tidak atau ya.” Kalau betul ada fadhilat umrah dalam bulam Rejab sudah tentu Aisyah telah menyebutnya.


Sumber :
al-Ahkamonline.net

Tiada ulasan: