Rabu, Ogos 18, 2010

KATAKANLAH “AKU BERPUASA”

Yang dimaksudkan dengan mengurangkan pahala puasa adalah tidak membatalkan puasa, tetapi puasanya sia-sia sahaja kerana perbuatan yang dilakukannya, bahkan dia akan diazab kerana perbuatannya. Oleh itu Nabi s.a.w telah memberitahu kita dalam sabdanya :
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلاَّ السَّهَرُ
Maksudnya : ” Berapa banyak orang yang berpuasa, tiada apa dari puasanya melainkan menahan dari makan dan minum”. (HR Ibn Majah : 1680)
Antaranya :
a. Kata-kata dusta
- Dari Abu Hurairah, telah berkata, Nabi s.a.w telah bersabda :
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Maksudnya : ” Barang sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta, dan tetap mengamalkannya, maka Allah sekali-kali tidak berhajat (atas amalannya, meskipun) dia meninggalkan makanannya serta minumannya “. [HR Al-Bukhari : 1804]
b. Perbuatan yang sia-sia dan keji
- Dari Abu Hurairah, telah berkata, Nabi s.a.w telah bersabda :
ليس الصيام من الأكل و الشراب، إنما الصيام من اللغو و الرفث، فإن سابّك أحد أو جهِل عليك، فقل : إني صائم، إني صائم
Maksudnya : ” Puasa itu tidaklah menahan makan dan minum semata-mata, tetapi puasa jugai adalah menahan dari perbuatan sia-sia dan keji. Jika ada orang mencela kamu, maka katakanlah : Aku berpuasa, aku berpuasa “. [HR Ibnu Khuzaimah : 1996][1]
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda :
الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ ...
Maksudnya :
Puasa adalah perisai, maka (seseorang janganlah mengerjakan rafas (perkataan yang keji) dan jangan berbuat jahil dan jika seseorang itu diperangi atau dicaci-maki, maka hendaklah dia mengatakan : “sesungguhnya aku sedang berpuasa,” (Nabi menyebutnya dua kali). (HR Bukhari : 1761).

Disiplin Puasa Ramadhan
Jagalah semua disiplin-disiplin dibulan Ramadahan agar kita mendapat rahmat (10 pertama), keampunan (10 kedua) dan kemerdekaan dari azab neraka(10 terakhir). BULAN Ramadan itu permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya pelepasan dari api neraka.(Riwayat Ibn Khuzaimah)
Terdapat dua kategori disiplin (pantang larang) dalam ibadat puasa:-
1) Disiplin Fizikal – menahan diri dari makan, minum dan melakukan seks disiang hari.
2) Disiplin Spiritual (Rohani) – menahan diri dari perbuatan keji seperti bergaduh, melihat perempuan ajnabi dan:-
a) Menjaga mulut dari bercakap benda yang dilarang, mengumpat,
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda :
إِذَا أَصْبَحَ أَحَدُكُمْ يَوْمًا صَائِمًا فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ فَإِنْ امْرُؤٌ شَاتَمَهُ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ إِنِّي صَائِمٌ
Maksudnya :
“Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”
Begitu juga dalam menjaga mulut dari menyanyi selain dari memuji Allah, Nabi, syurga dan perkara yang baik sahaja. Hukum nyanyian sama dengan percakapan, apa yang dibenarkan dalam percakapan itulah yang dibenarkan dalam nyanyian. Nyanyian yang dibenarkan ulama-ulama terdahulu adalah nyanyian tanpa muzik.
b) Menjaga mata dari melihat benda yang dilarang
c) Menjaga telinga dari mendengar benda yang dilarang seperti umpatan, muzik.
d) Menjaga anggota lain dari sebarang perkara mungkar, pergi ke tempat maksiat. Ulama feqah mengatakan sah puasa jika jaga disiplin “fizikal” sahaja, tapi tiada pahala. Lagipun Nabi menyuruh kita agar menjaga kedua-dua disiplin fizikal dan spiritual puasa.

Puasa yang rugi
Ramai orang puasa tapi tidak dapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat Bukhari : 1770)
Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi untuk melemahkan nafsu yang buruk. Oleh itu hendaklah mengawal diri dari melakukan perkara yang keji semasa berpuasa.
Perjuangan
Oleh itu berjuanglah untuk menjagalah semua disiplin-disiplin dibulan Ramadahan, selain dari makan, minum, seks, jagalah lidah, mata, telinga, anggota lain dari perkara yang sia-sia agar kita mendapat rahmat (10 Ramadhan pertama), keampunan (10 Ramadhan kedua) dan kemerdekaan dari azab neraka(10 Ramadhan terakhir)
Bulan Ramadan itu permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya pelepasan dari api neraka.(Riwayat Ibn Khuzaimah)

Zakat fitrah.
Bayarlah zakat fitrah untuk menampung kekurangan ibadat puasa kita dan “accident” atau kesalahan seperti tidak menjaga mata dari melihat perempuan, menonton tv. Zakat fitrah itu memberi kekuatan untuk ibadat itu naik ke langit dan dipersembahkan kepada ALLAH. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas yang menyebut;
“Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang berpuasa dari perkara sia-sia dan ucapan-ucapan kotor dan juga sebagai makanan kepada fakir miskin”. (Riwayat Imam Abu Daud , Ibnu Majah dan al-Hakim)
Bayarlah mengikut kemampuan..bayar lebih kalau kita orang berada kerana kadar yang ditetapkan oleh pejabat agama adalah mengikut purata.Contohnya kalau kadar zakat RM4.70 dan kita tinggal di rumah banglo, makan beras yang mahal, maka bayarlah RM5 atau lebih.
Zakat fitrah afdal dibayar dipagi raya sebelum solat hariraya. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w memerintahkan agar zakat fitrah ditunaikan sebelum orang ramai keluar untuk mendirikan sembahyang Hari Raya. Dizaman Rasulullah s.a.w., zakat fitrah terus diagihkan kepada orang miskin selepas Sembahyang Hari Raya.
Jika dibayar selepas sembahyang hariraya pun masih sah cuma pahalanya seperti pahala sedekah sahaja. Elok juga bayar awal untuk mengelakkan kesesakan dan lambat sembahyang hari raya.
Dari Ibn Abbas r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang maqbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain (Riwayat Abu Daud).

Tiada ulasan: