Khamis, September 23, 2010

SIRI 1 : HAJI IBADAH YANG AGUNG

Pendahuluan

Ibadat Haji merupakan Rukun Islam yang ke lima, yang wajib ditunaikan sekali seumur hidup kepada umat Islam yang mukallaf dan mempunyai kemampuan. Mengikut sejarah, Haji disyariatkan pada tahun kesembilan hijrah dan Baginda S.A.W menunaikan pada tahun berikutnya iaitu tahun ke sepuluh hijrah setelah dihalang oleh kaum Quraish dari memasuki Mekah.

Terdapat pelbagai faedah dan manfaat yang boleh diperolehi daripada ibadat Haji, antaranya firman Allah S.W.T :
لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
( سورة الحج 22 : 28 )
Maksudnya :
Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin….

Ayat di atas menjelaskan, kelebihan dan faedah yang diperolehi daripada ibadat Haji, iaitu manfaat di Dunia dan di Akhirat. Manfaat di Dunia, ialah memperolehi binatang sembelihan (korban) dan perniagaan. Manfaat di Akhirat ialah memperolehi keredhaan Allah S.W.T.

Haji juga merupakan sebaik-baik amalan yang wajib ditunaikan oleh semua umat Islam, berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah R.A :
سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ قَالَ إِيمَانٌ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ قِيلَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ جِهَادٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قِيلَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ حَجٌّ مَبْرُورٌ....
Maksudnya :
Seorang lelaki bertanya kepada Nabi S.A.W mengenai suatu amalan yang paling baik. Baginda bersabda : Beriman kepada Allah dan RasulNya. Lelaki tadi bertanya : Kemudian apa lagi? (amalan yang paling baik). Baginda bersabda : Berjihad di jalan Allah. Tanya lelaki itu lagi : Kemudian apa lagi? (amalan yang paling baik). Sabda Baginda : Haji yang mabrur….

Hadis di atas menjelaskan, Haji merupakan sebaik-baik amalan selepas daripada beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah S.W.T. Haji yang mabrur merupakan Haji yang ditunaikan dengan sempurna mengikut syarat-syaratnya dan tidak bercampur dengan perkara-perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat kepada Allah S.W.T.

Tiada ulasan: