Khamis, September 23, 2010

SIRI 2 : PENGENALAN KEPADA IBADAH HAJI

SIRI 2 : PENGENALAN KEPADA IBADAH HAJI

Definisi Haji

Haji dapat dibahagikan kepada dua definisi, iaitu dari segi bahasa dan kedua, dari segi istilah.

Definisi Haji Dari Segi Bahasa

Dari segi bahasa Haji bermaksud sebagai القصد (al-Qasd) iaitu berkehendakkan sesuatu, pergi untuk ziarah dan berkehendakkan kepada sesuatu yang besar.

Definisi Haji Dari Segi Istilah

Dari segi istilah, Haji bermaksud, pergi ke Baitullah dengan sifat yang tertentu, pada waktu tertentu dan dengan syarat-syarat yang tertentu.

Dalil-dalil Daripada Al-Quran, As-Sunnah dan Ijmak

Dalil-dalil yang mewajibkan Haji melibatkan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak.

Dalil daripada Al-Quran

Antara dalil daripada al-Quran ialah, firman Allah S.W.T :
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِلْعَالَمِينَ (96) فِيهِ آَيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَقَامُ إِبْرَاهِيمَ وَمَنْ دَخَلَهُ كَانَ آَمِنًا وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (97) (سورة آل عمران 3 : 96-97)
Maksudnya :
Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada tuhanya) ialah Baitullah yang di Mekah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan menusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekelian makhluk….

Ayat di atas menjelaskan, rumah ibadat yang pertama sekali di bina untuk manusia menunaikan ibadat ialah Baitullah yang terletak di Mekah. Kemudian Allah S.W.T mewajibkan Haji ke atas seluruh umat Islam dengan mengunjungi Baitullah bagi yang berkemampuan.

Dalil daripada as-Sunnah

Antara dalil daripada as-Sunnah ialah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.AM, Rasulullah S.A.W. bersabda :

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ...
Maksudnya :
Islam dibina atas lima perkara, iaitu : Mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadan….
Hadis di atas menjelaskan, umat Islam wajib berpegang dengan lima rukun Islam yang lima. Haji merupakan salah satu daripadanya bagi sesiapa yang mampu melakukannya.
Juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A :
خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ الْحَجَّ فَحُجُّوا فَقَالَ رَجُلٌ أَكُلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ ثُمَّ قَالَ ذَرُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلَافِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَدَعُوهُ....
Maksudnya :
Rasulullah S.A.W telah berkhutbah kepada kami, seraya bersabda : Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas kamu Haji, tunaikanlah Haji. Seorang lelaki bertanya : Adakah wajib ditunaikan setiap tahun wahai Rasulullah? Baginda enggan menjawab sehingga tiga kali ditanya oleh lelaki itu. Kemudian Baginda bersabda : Sekira aku menjawab ya, sudah tentu ia wajib dilakukan tiap-tiap tahun, kalau demikian kamu tentu tidak sanggup melakukannya. Peganglah apa yang aku tinggalkan kepada kamu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang terdahulu sebelum kamu kerana banyak pertanyaan mereka. Apabila aku perintahkan kamu melakukan suatu perkara, kerjakanlah mengikut kemampuan kamu. Dan apabila aku tegahkan kamu dari melakukan suatu perkara, jauhilah perkara tersebut….

Hadis di atas menjelaskan, Haji wajib ditunaikan ke atas setiap umat Islam sekali sahaja seumur hidup.

Dalil daripada Ijmak

Ulamak berijmak, Haji wajib ditunaikan sekali sahaja seumur hidup ke atas umat Islam.

Tiada ulasan: