Subscribe:

Ads 468x60px

Terima kasih kerana mengunjungi blog ini...... Segala pandangan mengenai blog ini amat di alu-alukan.....

Khamis, Oktober 28, 2010

SIRI 3 : PELAKSANAAN IBADAH HAJI

Cara-cara Menunaikan Haji

Cara-cara menunaikan Haji terbahagi kepada dua bahagian, iaitu amalan-amalan wajib dan amalan-amalan rukun.

Amalan- amalan Wajib Dalam Ibadat Haji

Amalan-amalan wajib dalam ibadat Haji terbahagi kepada lima perkara :

Ihram di Miqat

Amalan wajib bagi ibadat Haji yang pertama ialah berihram di Miqat. Miqat terbahagi kepada dua jenis.
a) Miqat Zamaniy

Miqat Zamaniy ialah tempoh waktu untuk menunaikan Haji, iaitu bulan Syawal, Zulkaedah sehingga malam ke sepuluh Zulhijjah. Tidak sah haji, sekiranya tidak diniatkan dalam tempoh yang ditetapkan.

b) Miqat Makaniy

Miqat Makaniy ialah tempat untuk berniat ihram bagi menunaikan Haji atau Umrah. Ia terbahagi kepada lima tempat :

i. Dhu al-Hulayfah : Iaitu Miqat bagi penduduk Madinah dan jemaah yang datang dari arah Madinah.
ii. Al-Juhfah : Iaitu Miqat bagi jemaah yang datang dari sebelah Syria, Mesir dan Barat (Maghrib).
iii. Qarn al-Manazil : Iaitu Miqat bagi jemaah yang datang dari sebelah Najd di Hijaz dan Najd di Yaman.
iv. Yalamlam : Iaitu Miqat bagi jemaah yang datang dari Tihamah Yaman.
v. Dhat ‘Irq : Iaitu Miqat bagi jemaah yang datang dari sebelah Timur seperti ‘Iraq dan Khurasan.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A. :
وَقَّتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لأَهْلِ الْمَدِينَةِ ذَا الْحُلَيْفَةِ وَلأَهْلِ الشَّأْمِ الْجُحْفَةَ وَلأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الْمَنَازِلِ وَلأَهْلِ الْيَمَنِ يَلَمْلَمَ فَهُنَّ لَهُنَّ وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنَّ لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ فَمَنْ كَانَ دُونَهُنَّ فَمُهَلُّهُ مِنْ أَهْلِهِ وَكَذَاكَ حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ يُهِلُّونَ مِنْهَا....

Maksudnya :
Rasulullah S.A.W menetapkan Miqat bagi penduduk Madinah, Dhu al-Hulaifah. Bagi penduduk Sham, al-Juhfah. Bagi penduduk Najd, Qarn al-Manazil. Bagi penduduk Yaman, Yalamlam. Baginda bersabda : Inilah Miqat mereka dan Miqat bagi orang yang datang dari tempat mereka yang mahu menunaikan haji dan umrah. Orang yang kurang daripada tempat Miqat ini maka Miqatnya bermula dari tempat permulaan perjalanan, sehinggakan penduduk Mekah memulakan dari Mekah (berihram di Mekah)….

Hadis di atas menjelaskan, jemaah Haji yang datang untuk menunaikan Haji atau Umrah, wajib berniat Ihram di tempat yang ditetapkan. Bagi jemaah yang tinggal di dalam kawasan Miqat, mereka boleh berniat di tempat kediaman atau permulaan perjalanan.


Bermalam di Muzdalifah

Amalan wajib dalam melakukan ibadat haji yang kedua ialah bermalam di Muzdalifah. Ia ditunaikan selepas berwukuf di ‘Arafah pada malam ke 10 Zulhijjah apabila terbenam matahari pada hari tersebut. Wajib bermalam di situ sehingga selepas pertengahan malam, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A yang menjelaskan sifat Haji Nabi S.A.W.


Melontar di Jamrah

Amalan wajib dalam ibadat Haji yang seterusnya ialah melontar di Jamrah. Amalan melontar ini dilakukan setelah jemaah selesai berwuquf di ‘Arafah dan bermalam di Muzdalifah. Jemaah wajib melontar di Jamrah ‘Aqabah yang terletak di penjuru Mina di sebelah arah Mekah. Lontaran tersebut hendaklah menggunakan tujuh biji anak batu dan setiap anak batu hendaklah masuk ke tempat yang ditetapkan. Waktu melontar bermula terbit matahari pada hari ke sepuluh Zulhijjah sehingga tenggelam matahari pada hari tersebut, berdasarkan hadis diriwayatkan daripada Jabir R.A, Nabi S.A.W pernah bersabda :

Maksudnya :
…Kemudian Baginda melalui jalan tengah yang keluar ke Jamrah al-Kubra, sehingga apabila sampai di Jamrah yang berada dekat dengan pokok, Baginda melontarnya dengan tujuh anak batu dan bertakbir pada setiap anak batu yang dilontarkan, saiz setiap anak batu adalah sebesar bijian (sebesar batu kecil) …

Hadis di atas menjelaskan, tatacara melontar yang ditunjukkan oleh Nabi S.A.W dengan menggunakan tujuh biji anak batu. Selepas itu, pada hari ke sebelas, dua belas dan tiga belas, wajib melontar di ketiga-tiga jamrah dengan menggunakan tujuh biji anak batu bagi setiap jamrah.


Bermalam Di Mina Pada Dua Malam Hari Tashrik

Bermalam di Mina pada malam hari Tashrik juga merupakan amalan wajib dalam ibadat Haji. Jemaah wajib bermalam di Mina sebanyak dua malam iaitu malam pertama dan kedua. Jemaah diberi keringanan untuk tidak bermalam pada malam ketiga, dengan syarat, keluar dari Mina sebelum matahari tenggelam. Sekiranya belum lagi keluar dari Mina, sedangkan matahari sudah tenggelam, wajib bermalam disitu dan wajib melontar di tiga-tiga jamrah.


ÙawÉf Wida‘

Amalan wajib yang melibatkan ibadat Haji yang kelima ialah ÙawÉf Wida‘. Setelah selesai menunaikan semua amalan Haji dan bersiap untuk pulang ke negeri masing-masing, jemaah wajib melakukan ÙawÉf Wida‘, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A :
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ ثُمَّ رَقَدَ رَقْدَةً بِالْمُحَصَّبِ ثُمَّ رَكِبَ إِلَى الْبَيْتِ فَطَافَ بِهِ....

Maksudnya :
Sesungguhnya Nabi S.A.W menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Kemudian tidur di suatu tempat di Mina. Kemudian menunggang (kenderaan) pulang ke rumah, kemudian Baginda menunaikan tawaf (selepas mengerjakan semua amalan-amalan Haji)….

Hadis di atas menjelaskan, Nabi S.A.W menunaikan tawaf apabila selesai menunaikan amalan-amalan Haji.


Amalan-amalan Rukun Dalam Ibadat Haji

Amalan-amalan rukun dalam ibadat Haji dapat dibahagikan kepada lima perkara :

Ihram

Amalan rukun dalam ibadat Haji yang pertama ialah berniat Ihram. Berniat ihram ialah berniat dalam hati dengan disertai melafazkannya dengan lidah. Kemudian bertalbiah sehingga sampai ke Mekah.



Wukuf Di ‘Arafah

Amalan rukun bagi Haji yang kedua ialah wukuf di ‘Arafah. Wukuf bermula dari gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga terbenam matahari pada hari tersebut, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abd al-Rahman bin Ya‘mar R.A :
أَنَّ نَاسًا مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ أَتَوْا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ بِعَرَفَةَ فَسَأَلُوهُ فَأَمَرَ مُنَادِيًا فَنَادَى الْحَجُّ عَرَفَةُ مَنْ جَاءَ لَيْلَةَ جَمْعٍ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ فَقَدْ أَدْرَكَ الْحَجَّ...

Maksudnya :
Sesungguhnya sebahagian penduduk Najd bertemu dengan Rasulullah S.A.W ketika berada di ‘Arafah. Mereka bertanya kepada Baginda (tentang amalan Haji). Baginda memerintahkan menunaikan (amalan wukuf) Haji di ‘Arafah. Barangsiapa yang datang pada malam manusia berhimpun sebelum fajar, dia telah mendapat Haji…

Hadis di atas menjelaskan, wukuf di ‘Arafah merupakan rukun Haji yang wajib ditunaikan. Sekiranya jemaah telah melakukan wukuf, Hajinya diterima oleh Allah S.W.T. Jemaah hendaklah berwukuf di dalam kawasan ‘Arafah, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada JÉbir R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda :
...وَوَقَفْتُ هَاهُنَا وَعَرَفَةُ كُلُّهَا مَوْقِفٌ...

Maksudnya :
… aku berwukuf di sini (‘Arafah). ‘Arafah keseluruhannya adalah tempat berwukuf…
Hadis di atas menjelaskan, hendaklah berwukuf di dalam kawasan yang ditetapkan. Sekiranya melakukan wukuf di luar kawasan tersebut, hukumnya tidak sah.


Tawaf Ifadah

Amalan rukun Haji yang ketiga ialah Tawaf Ifadah. Tawaf dilakukan selepas selesai berwukuf di ‘Arafah, berdasarkan firman Allah S.W.T :
…    (سورة الحج 22 : 29)
Maksudnya :
… dan hendaklah mereka Tawaf di Baitullah (Ka‘bah)….

Juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.MA :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفَاضَ يَوْمَ النَّحْرِ ثُمَّ رَجَعَ فَصَلَّى الظُّهْرَ بِمِنًى....

Maksudnya :
Sesungguhnya Rasulullah S.A.W Tawaf (Ifadah) pada hari al-Nahr (Raya Haji iaitu 10 Zulhijjah). Kemudian kembali semula untuk bersolat Zohor di Mina….

Hadis di atas menjelaskan, Baginda S.A.W menunaikan Tawaf Ifadah pada hari ke 10 Zulhijjah iaitu hari an-Nahr (Hari Raya Haji), kemudian kembali semula ke Mina untuk solat Zohor.

Tawaf Ifadah juga boleh dilakukan selepas hari an-Nahr dengan syarat tidak ada keuzuran yang menghalang seseorang daripada bertawaf. Makruh sekira dilakukan pada hari Tashrik tanpa ada keuzuran.


Sa‘iy Antara Safa dan Marwah

Amalan rukun bagi ibadat Haji yang keempat ialah Sa‘iy antara Safa dan Marwah. Sa‘iy bermula di Safa dan berakhir di Marwah sebanyak tujuh kali, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Urwah R.A : Aku bertanya ‘Aishah R.H (tentang Sa‘iy), kata ‘Aishah R.H :
...طَافَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَطَافَ الْمُسْلِمُونَ فَكَانَتْ سُنَّةً...

Maksudnya :
…Rasulullah S.A.W melakukan tawaf dan diikuti oleh orang islam melakukan tawaf (di antara Safa dan Marwah). Amalan tersebut adalah sunnah…

Hadis di atas menjelaskan, Baginda melakukan Sa‘iy di antara Safa dan Marwah dan turut sama dilakukan oleh orang Islam.





Bercukur

Amalan rukun bagi ibadat Haji yang kelima ialah bercukur. Bercukur dilakukan dengan cara menggunting rambut atau membotakkan kepala. Ia dilakukan selepas melontar di Jamrah ‘Aqabah atau Tawaf Ifadah.

Jemaah yang telah melontar di Jamrah ‘Aqabah dan melakukan Tawaf Ifadah, dikira sudah boleh bertahallul awwal dan boleh melakukan perbuatan yang di larang ketika dalam ihram kecuali bersetubuh dengan isteri. Manakala, jemaah yang telah melontar di Jamrah ‘Aqabah, Tawaf Ifadah dan bercukur, boleh bertahallul thaniy dan boleh melakukan perbuatan yang di larang ketika dalam ihram, termasuk melakukan persetubuhan dengan isteri.

0 ulasan: