Khamis, Oktober 28, 2010

SIRI 4 : ORANG YANG UZUR SYARIE DALAM IBADAH HAJI

Keadaan-keadaan Orang Yang Uzur Dalam Mengerjakan Haji

Terdapat beberapa keadaan yang melibatkan orang yang uzur dalam mengerjakan Haji. Di antara keadaan tersebut ialah :

Orang Sakit Yang Tiada Harapan Sembuh

Orang sakit yang tiada harapan sembuh diberi kelonggaran untuk tidak menunaikan Haji dan mereka tidak termasuk ke dalam golongan yang memenuhi kemampuan yang menjadi syarat wajib Haji. Mereka merupakan orang yang tidak mempunyai kemampuan dari segi kesihatan tubuh badan dan harus mengupah orang lain untuk mengerjakan Haji untuknya, dengan syarat orang tersebut sudah menunaikan Haji untuk dirinya terlebih dahulu, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A :
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلاً يَقُولُ لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ قَالَ مَنْ شُبْرُمَةُ قَالَ أَخٌ لِي أَوْ قَرِيبٌ لِي قَالَ حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ قَالَ لاَ قَالَ حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ....


Maksudnya :
Sesungguhnya Nabi S.A.W mendengar seorang lelaki berkata : Labbaika ‘An Shubrumah. Tanya Baginda : Siapa Shubrumah?. Kata lelaki itu : Adik aku atau saudara terdekat aku. Tanya Baginda : Kamu sudah mengerjakan Haji bagi dirimu?. Kata Lelaki itu : Tidak. Kata Baginda : Tunaikan Haji untuk kamu dahulu, kemudian barulah mengerjakan Haji untuk Shubrumah….

Hadis di atas menjelaskan, harus mengupah orang lain untuk mengerjakan Haji sekira tidak mampu, kerana mengidap penyakit yang tiada harapan sembuh.


Orang Yang Terlampau Tua

Orang yang terlampau tua dan uzur tidak wajib menunaikan Haji kerana tidak mempunyai kemampuan dari segi kesihatan. Boleh mengupah orang lain untuk mengerjakan Haji bagi pihak mereka, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A :
جَاءَتْ امْرَأَةٌ مِنْ خَثْعَمَ عَامَ حَجَّةِ الْوَدَاعِ قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الْحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا لاَ يَسْتَطِيعُ أَنْ يَسْتَوِيَ عَلَى الرَّاحِلَةِ فَهَلْ يَقْضِي عَنْهُ أَنْ أَحُجَّ عَنْهُ قَالَ نَعَمْ....

Maksudnya :
Seorang perempuan daripada Khat‘am datang (bertemu Nabi S.A.W) pada tahun Hajjati al-Wada‘. Kata perempuan itu : Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas hambaNya (ibadat) Haji, adakah diwajibkan (Haji ke atas) ayahku yang sudah terlampau tua, tidak mampu untuk menaiki kenderaan. Adakah wajib ditunaikan ke atasnya Haji? Kata Nabi : Ya….

Hadis di atas menjelaskan, orang yang terlampau tua dan tidak mampu menunaikan Haji untuk diri sendiri, boleh mengupah orang lain mengerjakan Haji.


Perempuan Haid

Perempuan haid tidak gugur kewajipan menunaikan Haji. Mereka juga wajib menunaikan Haji sebagaimana biasa, tetapi hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan syarak. Mereka hendaklah berniat ihram sebagaimana biasa, berwukuf di ‘Arafah, melontar di Jamrah ‘Aqabah dan bercukur. Apabila sudah suci, hendaklah menunaikan Tawaf Ifadah dan Sa‘iy.




Orang Yang Kemalangan Sehingga Menyebabkan Cedera Parah Atau Meninggal Dunia

Orang yang kemalangan sehingga menyebabkan cedera parah yang tidak mampu meneruskan amalan-amalan Haji atau meninggal dunia setelah berniat ihram, terbahagi kepada beberapa keadaan :
i. Orang yang sempat berwukuf di ‘Arafah, kemudian ditimpa kemalangan atau meninggal dunia, hendaklah membayar dam dan Haji tersebut tidak perlu di ulang.
ii. Orang yang tidak sempat berwukuf di ‘Arafah, kemudian ditimpa kemalangan atau meninggal dunia, hendaklah membayar dam dan Haji tersebut tidak sah dan wajib diulang pada tahun berikutnya tanpa ada keuzuran dan wali si mati wajib menunaikan Haji bagi pihaknya. Sekira timbul keuzuran, harus menunaikan Haji pada tahun-tahun akan datang.






Kanak-kanak, Orang Gila Dan Pengsan

Kanak-kanak dan orang gila tidak wajib mengerjakan Haji, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A yang lepas, yang menjelaskan kanak-kanak dan orang gila tidak wajib melakukan ibadat, kerana dosa mereka tidak akan dicatat. Walaubagaimanapun sah Haji mereka sekira dikerjakan.

Kanak-kanak yang sudah mumayyiz dan belum baligh boleh mengerjakan Haji dengan syarat mendapat keizinan daripada walinya. Sekira tidak mendapat keizinan, Haji tidak sah.

Orang gila hukumnya seperti kanak-kanak dalam mengerjakan Haji dan orang pengsan hukumnya seperti orang sakit dan boleh mengupah orang lain bagi pihaknya sekira tidak mampu untuk meneruskan Haji.

Sekira kanak-kanak mengerjakan haji, kemudian baligh ketika berwukuf atau selepasnya di ‘Arafah, sah Hajinya.

Tiada ulasan: