Khamis, Oktober 28, 2010

SIRI 5 : ISU-ISU ORANG YANG UZUR SYARIE DALAM IBADAH HAJI

6.1 Isu-isu Yang Berkaitan Orang Uzur Dalam Menunaikan Haji

Terdapat pelbagai isu yang berkaitan dengan orang uzur dalam menunaikan Haji. Diantaranya ialah :

Orang Yang Ditimpa Keuzuran Ketika Ihram Yang Tidak Berta‘lik Untuk Bertahallul

Jemaah yang ditimpa keuzuran ketika Ihram terbahagi kepada dua bahagian :
i. Jemaah yang berta‘lik untuk bertahallul dalam niatnya dalam mengerjakan ibadat Haji.
Sekiranya berta‘lik untuk bertahallul, kemudian ditimpa penyakit atau kemalangan, dikira sudah bertahallul, tidak dikenakan dam dan wajib mengulangi Haji pada tahun akan datang.
ii. Jemaah yang tidak berta‘lik untuk bertahallul dalam niatnya ketika menunaikan Haji, sekira ditimpa sesuatu penyakit atau kemalangan.
Sekira jemaah tidak berta‘lik dalam niatnya ia tidak di kira bertahallul dan jemaah tersebut dikehendaki kekal dalam ihram sehingga sembuh daripada sakit. Sekiranya jemaah berihram ‘Umrah, mereka hendaklah meneruskan amalan ‘Umrah tersebut. Sekiranya berihram Haji, hendaklah menukar niat kepada ‘Umrah dan wajib mengulangi semula Haji tersebut pada tahun akan datang. Menurut Imam Malik, jemaah tersebut dikehendaki meneruskan amalan Haji tanpa menukar niat kepada ‘Umrah dan menunaikan tawaf dan sa‘iy di antara Safa dan Marwah sebagaimana biasa disamping menunggu sehingga Haji tahun akan datang. Sekiranya jemaah bertahallul juga mereka perlu membayar dam dan wajib mengulangi Haji pada tahun akan datang.


Bermalam Di Muzdalifah Lebih Awal Dari Tempoh Yang Ditetapkan Bagi Mengelakkan Kesesakan.

Bermalam di Muzdalifah merupakan wajib Haji. Jemaah yang tidak bermalam di situ akan dikenakan dam dan Haji tetap sah. Syarak memberi kemudahan kepada jemaah yang uzur, sakit, wanita dan kanak-kanak bermalam lebih awal di Muzdalifah, selepas separuh malam dan melontar di Jamrah ‘Aqabah sebelum datang jemaah yang lain pada keesokan harinya, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aishah R.H :
أَرْسَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأُمِّ سَلَمَةَ لَيْلَةَ النَّحْرِ فَرَمَتْ الْجَمْرَةَ قَبْلَ الْفَجْرِ ثُمَّ مَضَتْ فَأَفَاضَتْ وَكَانَ ذَلِكَ الْيَوْمُ الْيَوْمَ الَّذِي يَكُونُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعْنِي عِنْدَهَا....
Maksudnya :
Nabi S.A.W menghantar Ummu Salamah (ke Mina) pada malam an-Nahr (Hari Raya Id al-Adha). Beliau (Ummu Salamah) melontar di jamrah sebelum Fajar dan setelah selesai melontar, lalu beredar. Perbuatan tersebut berlaku ketika Nabi S.A.W bersama dengannya….

Hadis di atas menjelaskan, harus bagi wanita melontar dahulu sebelum masuk waktu Fajar tanpa bermalam di Muzdalifah, berdasarkan perbuatan yang dilakukan Ummu Salamah di atas.

Harus bagi wanita, orang uzur dan kanak-kanak datang awal di Mina tanpa bermalam di Muzdalifah untuk melontar di Jamrah sebelum Fajar.

Menurut Imam ash-Shaf‘iy, mendahulukan orang yang lemah, yang terdiri daripada wanita dan seumpamanya, untuk tidak bermalam di Muzdalifah dan terus ke Mina selepas separuh malam dan sebelum Fajar untuk melontar di Jamrah ‘Aqabah bagi mengelakkan kesesakan orang ramai, adalah merupakan perbuatan sunnah.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aishah R.H :
نَزَلْنَا الْمُزْدَلِفَةَ فَاسْتَأْذَنَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَوْدَةُ أَنْ تَدْفَعَ قَبْلَ حَطْمَةِ النَّاسِ وَكَانَتْ امْرَأَةً بَطِيئَةً فَأَذِنَ لَهَا فَدَفَعَتْ قَبْلَ حَطْمَةِ النَّاسِ...

Maksudnya :
Kami telah tiba di Muzdalifah. Sawdah meminta izin daripada Nabi S.A.W untuk bertolak terlebih dahulu (ke Mina) sebelum berlaku kesesakan di kalangan orang ramai. Beliau merupakan seorang wanita yang berjalan lambat. Baginda mengizinkannya. Lalu beliau pergi ke Mina sebelum berlaku kesesakan di kalangan orang ramai…

Hadis di atas menjelaskan, wanita yang lemah diharuskan bertolak terlebih dahulu ke Mina untuk melontar di Jamrah ‘Aqabah.


Cuaca Terlampau Sejuk Di Mina Dan Muzdalifah

Harus bagi jemaah tidak bermalam di Mina dan Muzdalifah, sekiranya cuaca di kedua tempat tersebut terlampau sejuk sehingga memudaratkan diri. Ini berdasarkan qiyas kepada hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah R. H di atas.

Menurut Imam an-Nawawiy, orang yang tidak bermalam di Mina dan Muzdalifah dengan sebab keuzuran yang dibenarkan syarak, tidak dikenakan dam.


Upah Melontar Untuk Orang Uzur dan Sakit

Harus kepada orang yang uzur dan sakit mengupah seseorang melontar untuknya, samada penyakit akan sembuh dalam tempoh pelaksanaan Haji atau sebaliknya, pendapat ini merupakan pendapat Jumhur Ulama, Imam ash-Shaf‘iy, Abu Hanifah dan Ahmad, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A :
حَجَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَعَنَا النِّسَاءُ وَالصِّبْيَانُ فَلَبَّيْنَا عَنْ الصِّبْيَانِ وَرَمَيْنَا عَنْهُمْ....

Maksudnya :
Kami (menunaikan) Haji bersama dengan Rasulullah S.A.W. Bersama kami wanita dan kanak-kanak. Kami bertalbiah untuk kanak-kanak dan melontar untuk kedua-duanya….

Hadis di atas menjelaskan, Nabi S.A.W membenarkan Jabir R.A untuk melontar bagi pihak kanak-kanak dan wanita. Wanita dan kanak-kanak dibenarkan mewakilkan kepada orang lain, manakala orang uzur dan sakit lebih utama dibenarkan melontar bagi pihaknya. Ulama berijmak, kanak-kanak yang tidak mampu melontar, boleh digantikan dengan orang lain untuk melontar bagi pihaknya.

Dalam ibadat Haji. Harus mengupah seseorang untuk menunaikan Haji bagi seseorang yang lain, ini bermakna melontar lebih utama diwakilkan kepada orang lain jika seseorang tidak mampu melakukannya, kerana ia merupakan salah satu daripada amalan wajib Haji.

Menurut as-Sarkhasiy, orang sakit dikehendaki meletakkan batu di atas tapak tangan sambil dibantu oleh orang lain untuk melontar. Ulama berijmak, harus bagi kanak-kanak dan orang yang lemah (uzur) disebabkan penyakit mewakilkan kepada orang lain untuk melontar.

Imam Malik menyatakan, harus bagi wakil melontar untuk pesakit, sekiranya tidak dapat membawa pesakit bersama ketika melontar.


Orang Uzur Dan Sakit Yang Di Usung

Ulama berijamak, harus bagi orang uzur dan sakit di usung atau menaiki kenderaan untuk menunaikan amalan Haji seperti melontar di Jamrah, Tawaf dan Sa‘iy, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘AbbÉs R.A :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَافَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ عَلَى بَعِيرٍ يَسْتَلِمُ الرُّكْنَ بِمِحْجَنٍ...

Maksudnya :
Sesungguhnya Rasulullah S.A.W Tawaf ketika melaksanakan Haji Wada‘ ketika berada dia atas belakang unta (dengan menaiki kenderaan) dan berisyarat di Rukun (Yamaniy) dengan tongkat…

Hadis di atas menjelaskan, Rasulullah S.A.W melakukan Tawaf ketika berada di atas belakang unta (dengan menaiki kenderaan) dan berisyarat dengan menggunakan tongkat di Rukun Yamaniy.

Juga hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah R.H :
شَكَوْتُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنِّي أَشْتَكِي قَالَ طُوفِي مِنْ وَرَاءِ النَّاسِ وَأَنْتِ رَاكِبَةٌ فَطُفْتُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي إِلَى جَنْبِ الْبَيْتِ يَقْرَأُ بْ الطُّورِ وَكِتَابٍ مَسْطُورٍ...

Maksudnya :
Aku mengadu kepada Rasulullah S.A.W. Aku mengadu yang aku sakit. Baginda bersabda : Tawaf lah dibelakang orang lain dakam keadaan menaiki kenderaan. Lalu aku melakukan Tawaf dan (aku melihat) Rasulullah bersolat di sebelah Kaabah dan membaca (al-Quran) at-Thur Wa Kitabin Masthur…

Hadis di atas menjelaskan, orang yang uzur dan sakit dibenarkan menaiki kenderaan ketika bertawaf.

Ulama berbeza pendapat mengenai orang yang sihat tubuh badan menaiki kenderaan ketika melakukan Tawaf atau Sa‘iy kepada tiga pendapat.

Pendapat Pertama : Tidak harus menaiki kenderaan ketika melakukan Tawaf atau Sa‘iy. Pendapat ini adalah pendapat al-Khiraqiy dan salah satu riwayat Imam Ahmad, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘AbbÉs R.A :
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الطَّوَافُ حَوْلَ الْبَيْتِ مِثْلُ الصَّلَاةِ إِلَّا أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلَا يَتَكَلَّمَنَّ إِلَّا بِخَيْرٍ....

Maksudnya :
Sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda : Tawaf di sekeliling Kaabah seperti juga solat (menunaikan solat), cuma kamu boleh bercakap padanya (ketika Tawaf). Barangsiapa bercakap (ketika Tawaf), jangan bercakap kecuali yang baik….
Hadis di atas menjelaskan, Tawaf merupakan ibadat yang dilakukan di Kaabah kedudukannya tidak ubah serupa seperti solat. Seseorang yang menaiki kenderaan tidak harus melakukan Tawaf, seperti juga solat (fardu) tidak sah dilakukan di atas kenderaan tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak.

Pendapat kedua : Harus bagi orang yang sihat tubuh badan menaiki kenderaan ketika melakukan Tawaf dan dikehendaki membayar dam. Pendapat ini adalah pendapat Imam Malik dan Abu Hanifah, kerana amalan Tawaf merupakan amalan wajib Haji dan sekira tidak melakukannya dengan sempurna, dikehendaki membayar dam. Ia diqiyaskan kepada orang yang berwukuf pada siang hari di ‘Arafah dan keluar dari ‘Arafah lebih awal menuju ke Muzdalifah sebelum tenggelam matahari.

Pendapat ketiga : Harus bagi orang yang sihat tubuh badan menaiki kenderaan ketika bertawaf dan tidak dikenakan dam. Pendapat ini adalah pendapat Abu Bakar, Mazhab ash-Shaf‘iy dan Ibn Munzir, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas di atas, yang menjelaskan Nabi S.A.W melakukan Tawaf dengan menaiki kenderaan dan tidak menyatakan dalam keadaan uzur atau sebaliknya.

Kesimpulannya, ulama mazhab empat berbeza pendapat mengenai permasalahan orang yang sihat melakukan Tawaf secara berkenderaan. Imam Ahmad menyatakan tidak harus bagi orang yang sihat menaiki kenderaan ketika melakukan Tawaf. Manakala Imam Malik dan Abu Hanifah pula menyatakan harus bagi orang yang sihat menaiki kenderaan cuma dikenakan dam. Sebaliknya Mazhab ash-Shaf‘iy menyatakan harus bagi orang yang sihat menaiki kenderaan ketika bertawaf secara mutlak dan tidak dikenakan dam.

Setelah diteliti ketiga-tiga pendapat di atas, pendapat ketiga adalah pendapat yang lebih sahih, kerana :
i. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A di atas, menyatakan Nabi S.A.W melakukan Tawaf di Kaabah dengan menaiki kenderaan adalah lafaz yang umum. Tidak dinyatakan ketika melakukan Tawaf tersebut Nabi S.A.W berada dalam keadaan uzur atau sihat.
ii. Allah S.W.T memerintahkan supaya melakukan Tawaf secara mutlak. Sesiapa yang melakukan Tawaf di Kaabah sah Tawafnya tanpa membezakan sama ada menaiki kenderaan atau tidak.
iii. Tidak harus mengkhususkan lafaz yang umum tanpa ada dalil yang sahih.

Namun yang afdalnya melakukan Tawaf secara berjalan kaki dan Sa‘iy tanpa menaiki kenderaan, kerana Nabi S.A.W sendiri melakukan Tawaf berjalan kaki sahaja kecuali pada Haji Wada‘, Baginda menaiki kenderaan. Ini adalah pandangan majority ulama. Pandangan ini lebih mementingkan maslahah kepada umat Islam pada masa ini. Lebih-lebih lagi, syariat Islam bertujuan memudahkan pelaksanaan ibadat dikalangan orang ramai, berdasarkan ayat dari Surah an-Nisa’ ayat 28 dan Surah al-Baqarah ayat 286 yang lepas, dan juga ‘Uruf semasa yang diamalkan oleh umat Islam untuk melakukan Tawaf di Kaabah.


Orang Uzur Meninggalkan Tawaf Wida‘

Banyak hadis Nabi S.A.W yang menyebut Tawaf Wida‘ merupakan amalan wajib Haji. Orang yang tidak melaksanakan Tawaf Wida‘ dikenakan dam, kecuali wanita haid dan nifas, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘AbbÉs R.A :
أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ....

Maksudnya :
Orang ramai diperintahkan melakukan Tawaf di Kaabah pada akhir pelaksanaan Haji mereka, tetapi diberi kelongaran terhadap wanita haid (untuk tidak bertawaf)….

Hadis di atas menjelaskan, amalan terakhir jemaah yang menunaikan Haji adalah melakukan Tawaf Wida‘, kecuali wanita haid dan nifas. Harus bagi mereka terus pulang ke rumah masing-masing tanpa dikenakan dam.

Orang yang uzur dan sakit, juga diberi keringanan sebagaimana wanita haid dan nifas. Sekiranya diwajibkan melakukan Tawaf Wida‘, akan memudaratkan dan menjadi satu kesulitan kepada mereka. Wanita haid dan nifas sudah tahu tempoh masa datang haid atau nifas, berbanding dengan orang uzur dan sakit. Mereka tidak tahu bila mereka akan sembuh. Orang uzur dan sakit lebih besar keuzuran berbanding wanita haid dan nifas, kerana itu lebih utama diberi kelonggaran kepada mereka.


Kesimpulan

Kesimpulan yang dapat dinyatakan dalam bab yang keenam ini ialah :
a. Ibadat Haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap mukallaf mengikut kemampuan masing-masing.
b. Syarat-syarat kemampuan yang menjadi kewajipan kepada setiap mukallaf ialah kemampuan harta, masa, keselamatan pergi balik, kesihatan dan nyawa.
c. Amalan wajib Haji yang perlu dilakukan oleh para jemaah ialah ihram di Miqat, bermalam di Muzdalifah, melontar di Jamrah, bermalam di Mina dan Tawaf Wida‘.
d. Perkara rukun dalam ibadah Haji yang perlu dilakukan oleh para jemaah ialah berniat ihram, berwukuf di ‘Arafah, bertawaf Ifadah, bersa‘iy antara Safa dan Marwah dan bercukur.
e. Orang sakit yang tiada harapan sembuh diberi kelonggaran untuk tidak menunaikan fardu Haji kerana tidak memiliki kemampuan yang menjadi syarat wajib Haji.
f. Orang yang terlampau tua dan uzur tidak wajib melaksanakan ibadat kerana tidak memiliki kemampuan dari segi kesihatan. Walaubagaimanapun, mereka boleh mengupah orang lain untuk mengerjakan Haji bagi pihak mereka.
g. Perempuan haid tidak gugur kewajipan Haji. Mereka wajib menunaikan Haji sebagaimana orang lain juga, tetapi hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan syarak.
h. Orang yang kemalangan sehingga menyebabkan cedera parah atau meninggal dunia setelah berniat ihram dan tidak mampu meneruskan amalan-amalan Haji selepas berwukuf di ‘Arafah, kemudian ditimpa kemalangan atau meninggal dunia, hendaklah membayar dam dan Haji tersebut tidak perlu di ulang.
i. Orang yang kemalangan yang mengalami cedera parah atau meninggal dunia setelah berniat ihram dan tidak mampu meneruskan amalan-amalan Haji sebelum berwukuf di ‘Arafah, kemudian ditimpa kemalangan atau meninggal dunia, hendaklah membayar dam dan Haji tersebut tidak sah dan wajib diulang pada tahun berikutnya. Wali si mati wajib menunaikan Haji bagi pihaknya. Sekiranya wali menghadapi keuzuran, harus menunaikan Haji itu pada tahun-tahun akan datang.
j. Kanak-kanak dan orang gila tidak wajib mengerjakan Haji, kerana mereka tidak memenuhi syarat kemampuan. Namun sah Haji mereka sekiranya dikerjakan.
k. Sekiranya jemaah berta‘lik untuk bertahallul, kemudian ditimpa penyakit atau kemalangan, mereka dikira sudah bertahallul, tidak dikenakan dam dan wajib diulangi Haji pada tahun akan datang.
l. Namun jika jemaah tidak berta‘lik untuk bertahallul dalam niatnya mereka tidak dikira bertahallul dan dikehendaki kekal dalam ihram sehingga sembuh daripada sakit.
m. Syarak memberi kemudahan kepada jemaah yang uzur, sakit, wanita dan kanak-kanak bermalam lebih awal di Muzdalifah, selepas separuh malam dan melontar di Jamrah ‘Aqabah sebelum datang jemaah yang lain pada keesokan harinya.
n. Harus bagi jemaah untuk tidak bermalam di Mina dan Muzdalifah, sekira cuaca di kedua tempat tersebut terlampau sejuk sehingga memudaratkan diri.
o. Harus bagi orang uzur dan sakit mengupah seseorang melontar untuknya, samada penyakit akan sembuh dalam tempoh pelaksanaan Haji atau sebaliknya.
p. Ulama berijmak, harus bagi orang uzur dan sakit di usung atau menaiki kenderaan untuk menunaikan amalan Haji seperti melontar di Jamrah, Tawaf dan Sa‘iy.
q. Orang uzur dan sakit diberi kelonggaran untuk tidak bertawaf Wida‘ dan terus pulang ke Negara masing-masing, sebagai qiyas kepada wanita haid dan nifas.

Tiada ulasan: